Tuesday 18 October 2011

PERMAINAN MUSIK TRADISIONAL.


Silat pulut Jeram Landak.


Aktifkan semula permainan muzik tradisional


KUALA LIPIS 7 Mac - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penggiat seni disaran mengaktifkan semula permainan alat muzik tradisional Pahang bagi memperkenalkannya kepada pelancong yang datang ke daerah ini.


Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman  berkata, usaha menyuburkan kembali peralatan muzik tersebut akan menarik generasi baru mengetahuinya sekali gus mempopularkan kesenian itu pada masa akan datang.

Menurut beliau, warisan alat muzik tradisional seperti gendang, serunai dan peralatan lain menjadi ejen penyatuan penduduk serta tarikan kepada pelancong asing.

Beliau berkata, walaupun arus pembangunan muzik moden kian berkembang tetapi muzik tradisional tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

"Mereka yang masih aktif dengan permainan gendang, serunai dan peralatan tertentu boleh dibilang dengan jari di daerah ini.

Kumpulan gendang silat Kampung Mela membuat 
persembahan semasa majlis perkahwinan.

"Perkara itu menyebabkan kita sukar mencari kumpulan gendang dan muzik tradisional bagi memeriahkan sesuatu program kesenian serta menyambut ketibaan pelancong yang menginap di kampung tertentu," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, daerah itu terkenal dengan kumpulan gendang dan serunai serta popular di Kampung Jeram Landak, Kampung Mela, Batu Sembilan, Bukit Betong dan Hulu Jelai.

Mohamad Shahrom berkata, warisan kesenian itu hampir pupus apabila generasi muda enggan mempelajarinya termasuk kemahiran membuat peralatan muzik tradisional terbabit.

Tambahnya, paling ketara, iaitu irama pukulan gendang dan tiupan serunai yang dimainkan ketika mengiringi acara silat semakin hambar kerana tidak dipersembahkan oleh kalangan mereka yang mahir.

''Penggiat muzik tradisional khususnya gendang tetawak dari luar diundang mengajar ahli JKKK dan belia daerah ini untuk menghidupkan kembali kesenian itu di samping kemahiran membuat peralatan tersebut," katanya.
Beliau memberitahu, pihak berwajib dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wajar mengadakan pertandingan kemahiran bergendang dan peralatan tradisional lain di setiap mukim membabitkan penyertaan golongan belia.
Mohamad Shahrom memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu melaksanakan program itu dan usaha tersebut merupakan alternatif menghidupkan semula warisan Melayu Pahang.

Beliau berkata, JKKK terbabit diminta menampilkan acara bergendang dan peralatan muzik tradisional Pahang untuk memeriahkan acara sambutan dan mempamerkan kesenian tempatan kepada pelancong.

Dalam pada itu, pelancong dari Perancis, Andree Falin, 46, tertarik dengan alat muzik tradisional itu.
Katanya, kesenian itu wajar dihidupkan dan dipersembahkan kepada pelancong kerana tidak terdapat di negara mereka.

''Seni itu menunjukkan masyarakat Melayu kreatif dan bersatu padu, kaya dengan adat budaya tradisi," katanya yang menyertai program lawatan sehari ke daerah Lipis baru-baru ini.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_02.htm

No comments:

Post a Comment