KUALA LIPIS 17 Feb. - Kampung Jeram Landak di sini, terus kekal sebagai pusat pembangunan warisan keseniaan dan kebudayaan Melayu Pahang dengan terbinanya sebuah balai kesenian melibatkan kos sebanyak RM80,000.

Ketua UMNO Lipis, Datuk Abdul Rahman berkata, pembinaan balai itu membolehkan penduduk menjalankan pelbagai kegiatan kesenian dan kebudayaan termasuk mengadakan latihan, persembahan dan promosi kepada pengunjung.

Beliau berkata, usaha itu adalah untuk memacu sektor pelancongan berasaskan program inap desa di daerah ini yang kaya dengan pelbagai warisan kesenian Melayu lama seperti gendang ketawak, tarian piring, silat, dikir rebana dan makanan tradisional nasi kebuli..

''Balai itu telah diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan untuk menjalankan kegiatan kesenian selain kemudahan melatih belia di sini supaya mahir dalam genre (bidang) berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Kesenian dan Kebudayaan di Kampung Jeram Landak, dekat sini sekelmarin.

Hadir sama Ketua Pemuda Lipis, Abu Jimi Samat dan Ketua Kampung Jeram Landak, Isa Yusof.

Menurut Abdul Rahman, Kampung Jeram Landak sememangnya terkenal dan sinonim dengan gendang ketawak, dikir rebana dan persilatan sehingga kumpulan keseniaan kampung berkenaan sering diundang menyertai persembahan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Nasi kebuli pula, katanya, merupakan kegemaran golongan diraja dan pemimpin tempatan, selain akan turut dijadikan antara menu utama kepada pelancong yang berkunjung ke daerah ini.

"Kerajaan negeri menyediakan kemudahan itu bagi keselesaan penduduk mengaktifkan warisan berkenaan agar kekal untuk generasi akan datang selain merancakkan sektor pelancongan inap desa.

''Kita juga mahukan penduduk menjadikan balai ini untuk kegiatan berpantun, bernazam, berzanji, marhaban dan nasyid yang menjadi kegiatan untuk menyatukan masyarakat dan perkembangan syiar Islam," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku meminta penggiat seni supaya melatih golongan belia kampung berkenaan mengenai kesenian Melayu tempatan supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

Katanya, kegiatan berkenaan turut menjadi agenda JKKK dalam memajukan kesenian yang juga pemangkin dalam pembangunan kampung sejajar aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan kampung cemerlang setiap tahun.

''Warisan kesenian penduduk di sini juga boleh dijadikan kegiatan UMNO bahagian untuk dipersembahkan dalam majlis tertentu menerusi program bersama tetamu, turun padang dan juara rakyat di desa dan pedalaman daerah ini," katanya.

Beliau menambah, UMNO Lipis sedia berbincang dengan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Pahang untuk menyediakan imbuhan bagi membantu penggiat seni di Jeram Landak yang aktif menyuburkan kesenian di kampung berkenaan.