Stesen Radio Amatur 9W2LUD.
Radio Amatur atau juga dikenali sebagai Ham Radio merupakan satu cara berkomunikasi tanpa wayar dengan menggunakan isyarat radio yang efektif selain dari menggunakan telefon bimbit dan Internet. Jutaan pengguna dari segenap pelusuk dunia memilih Radio Amatur sebagai satu hobi.
Di Malaysia, pengendali hobi ini tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seseorang yang ingin mengendalikan Radio Amatur perlu menduduki Peperiksaan Radio Amateur (Radio Amateur Examination - RAE) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM/MCMC). Umur minima bagi menduduki peperiksaan ini ialah 14 tahun sepertimana yang telah ditetapkan oleh suruhanjaya sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran lesen dan isu-isu berkaitan dengannya. Sopan santun adalah kunci utama kepada pengendalian yang sempurna semasa berkomunikasi menggunakan peralatan radio.
Radio amatur bukan sekadar alat untuk komunikasi sesama ahli atau dengan rakan-rakan radio yang lain, tetapi turut membantu ketika kecemasan seperti tanah runtuh, sesat di dalam hutan, banjir kilat atau nahas di darat, udara mahu pun di air, Apabila komunikasi sedia ada tidak dapat digunakan atau tiada perkhidmatan komunikasi di kawasan tersebut. jika berlaku kecemasan atau bencana alam yang menyebabkan komunikasi sediada tidak boleh digunakan, perkhidmatan radio amatur amat diperlukan. Jika sebelum ini peralatan komunikasi seperti telefon bimbit digunakan untuk berhubung, tetapi jika di dalam situasi kecemasan, radio amatur memudahkan proses itu, khususnya di kawasan yang tiada talian komunikasi dan juga bekalan elektrik, kerana radio amatur boleh berfungsi melalui tenaga bateri atau generator.
Penulis mula meminati bidang radio amatur semasa masih menuntut di kolej. Selalu juga membaca majalah-majalah berkenaan elektronik seperti Practical Wireless dan Electronic Today dan lain-lain majalah terbitan luar negeri. Di dalam majalah tersebut ada diiklankan tempat-tempat berkursus, cara dan bagaimana hendak menjadi seorang ahli radio amatur. Di negara kita pada masa itu, tidak terdapat tempat yang memberi tunjukajar dan cara bagaimana untuk menjadi seorang ahli radio amatur. Radio amatur pada masa itu dikategorikan sebagai kelab atau grup yang eksklusif. Hanya mereka dikalangan bertaraf tinggi sahaja yang layak memiliki lesen radio amatur seperti hakim, doktor, peguam dan pengurus estet. Hanya selepas era perang dingin barulah radio amatur mula berkembang dikalangan rakyat biasa.
Penulis hanya mendapat lesen radio amatur dengan tanda panggilan 9W2LUD kira-kira 9 tahun lepas, itupun setelah pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM/MCMC) ditubuhkan. Minat yang mendalam dalam perhubungan komunikasi radio disamping mempelajari teknik komunikasi radio duahala telah mengheret penulis untuk menganggotai pasukan 13 Skuadron Rejimen Semboyan (PSTD). Dengan menyarung pakaian celorang pasukan, inilah sahaja satu-satunya tempat dan peluang untuk belajar mengenai komunikasi radio secara percuma tanpa perlu ke luar negara.
No comments:
Post a Comment