Tuesday 18 October 2011

GENDANG PAHANG PENYERI MAJLIS

Oleh HARIS FADILAH AHMAD 
utusanpahang@utusan.com.my




KUMPULAN gendang tetawak Kampung Bukit Betong mengiringi persembahan silat sempena Festival Kebudayaan dan Kesenian di Kuala Lipis, baru-baru ini.
KUALA LIPIS 7 Mac – Gendang Pahang atau dikenali sebagai gendang tetawak diperkenalkan seorang pemimpin tempatan, Datuk Perba Jelai dan dimainkan oleh penduduk di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Pahang di sini.

Seni warisan itu turut menerima pengaruh Islam kerana irama lagu yang digubah merupakan gandingan peralatan yang dibawa dari Asia Barat.
Bagaimanapun, alat muzik tersebut hanya dimainkan golongan warga emas dan segelintir belia berikutan kehadiran muzik moden yang lebih mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Gendang tetawak dan kombinasi dengan peralatan muzik lain sering dimainkan bagi memeriahkan majlis keramaian, perkahwinan, majlis rasmi, mengiringi tarian tradisional Melayu, silat dan mengiringi pembesar negeri.

Peralatan muzik itu agak berbeza dengan gendang dari negeri lain kerana ia tidak diiringi serunai malah, menggunakan tiga alat muzik lain iaitu gendang ibu, gendang anak dan gong.
Seorang penggiat gendang tetawak, Ismail Mahmud, 80, berkata, persembahan gendang tetawak membabitkan gendang sama deras, gendang sama dua, tupai berkendak, gobik teba dan gendang ketimbong janda.

Menurutnya, peralatan muzik itu sedap didengar menerusi paluan gendang tetawak dengan diiringi gendang janda mengerat kayu api, gendang kambing berlaga, gendang raja berangkak dan gendang tari piring.
"Gendang tersebut dimainkan orang lelaki atau wanita pada zaman dahulu malah, dikatakan setiap kampung di negeri ini mempunyai pasukan gendang tetawak masing-masing.
Kumpulan gendang dari Kg Mela.

"Namun, gendang Pahang mempunyai lagunya tersendiri dikenali sebagai Bujang Hilir. Irama itu dimulakan dengan rentak pembukaan dan diakhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang belia dari Kampung Jeram Landak, Mohd. Hafizi Talib, 21, merupakan antara generasi muda yang melibatkan diri dalam permainan alat tradisional itu.
Katanya, dia mula berjinak-jinak dengan ilmu persilatan dan peralatan muzik tradisional sejak usia 12 tahun lagi.

Katanya, ketika itu dia berlatih bersama penggiat seni dari kampungnya terdiri daripada warga emas yang bermain alat muzik tersebut.

''Oleh kerana minat dengan pencak silat dan bermain alat muzik berkenaan, saya sanggup berjaga hingga larut malam dengan melihat warga emas dan belia berlatih bermain peralatan muzik itu di kampung ini," katanya.
Menurutnya, apabila berusia 16 tahun, minat dan bakatnya dikesan oleh tokoh penggiat seni Kampung Jeram Landak, Ramli Embor, 70, lalu mengajarnya mengenai ilmu persilatan dan bermain gendang tetawak.
Katanya, setelah tiga tahun mempelajarinya bersama ahli Kumpulan Kesenian Kampung Jeram Landak, dia diberi kepercayaan mengadakan persembahan pada majlis keramaian tertentu.

Allahyarham Ramli Bin Hj Embor.

Mohd. Hafizi yang merupakan bekas pelatih Pusat Giat Mara Lipis berkata, dia memainkan lagu tradisional menggunakan gendang tetawak seperti Samanderu, Gobek Terbang, Raja Berjalan, Yale Yale dan beberapa irama lain.

''Saya boleh bermain gendang ibu, gendang anak dan tetawak untuk membuat persembahan lagu terbabit pada majlis keramaian," jelasnya.

Dia berhasrat untuk menjalani latihan secara profesional bagi meningkatkan kemahiran dalam muzik tradisional menggunakan peralatan tersebut.

Selain itu, Mohd. Hafizi juga mempunyai impian untuk membawa kumpulan seninya mengadakan persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur dalam memperkenalkan seni silat dan irama gendang tetawak yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Sumber:
http://blog-melaka.blogspot.com/2011/03/edisi-semasa_08.html

No comments:

Post a Comment