Monday, 3 October 2011

GAJAH SERANG MASJID KAMPUNG JERAM LANDAK.



JERAM LANDAK - Sekumpulan jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh awal pagi semalam gempar apabila mendapati keadaan persekitaran masjid di kawasan ini mengalami kerosakan akibat serangan gajah. Kejadian awal pagi itu turut memusnahkan tanaman seperti pokok pisang dan kelapa selain menyebabkan pagar di bahagian belakang masjid itu rosak.

Haiwan itu turut meninggalkan najis di kawasan bangsal masjid selain merosakkan beberapa peralatan memasak seperti tungku kawah.

Gajah datang dari arah kebun

Seorang penduduk, Aziz Yusof, 40, berkata, sehari sebelum kejadian gajah memasuki kawasan masjid, haiwan itu didapati berada di kebunnya.

“Sekitar jam 6 petang kelmarin, saya selesai menoreh dan kembali ke kebun kira-kira jam 8 malam untuk mengisi bahan pengeras getah berikutan hujan dijangka berlaku malam itu.

“Ketika sampai di kebun, saya mendapati pondok kayu yang menjadi tempat saya berehat rosak dan hampir musnah. Selain itu, beberapa dahan pokok getah juga patah. Saya cuba mengenal pasti penceroboh yang masuk ke kawasan kebun getah ini dan ternampak najis gajah tidak jauh dari pondok kayu itu,” katanya. Aziz berkata, setelah ternampak najis itu, dia bergegas pulang ke rumah kerana khuatir diserang gajah.

“Saya bimbang haiwan itu datang secara tiba-tiba dan menyerang saya,” katanya.

Larang penduduk keluar 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu, Isa Mohd Yusof berkata, semua penduduk diminta supaya tidak keluar menoreh getah pada hari kejadian berikutan serangan gajah di kampung itu.

“Hampir seluruh penduduk mempunyai kebun getah dan kami percaya kumpulan gajah yang terdiri daripada ibu dan anak masih ada di kawasan kebun itu.

“Justeru, saya berharap penduduk kampung dapat mendengar arahan kerana bimbang keselamatan mereka terancam,” katanya.

Isa berkata, terdapat beberapa penduduk ternampak kelibat haiwan itu yang memusnahkan kebun pisang sekitar tiga hingga empat hari lalu.

“Kami percaya kumpulan gajah itu datang dari hutan simpan berhampiran. Selain itu, penduduk turut menjumpai tapak kaki gajah di sungai berhampiran iaitu tempat haiwan itu menyeberang untuk sampai ke kampung ini.

“Saya sudah melaporkan kejadian ini kepada Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah dan mereka bergegas ke sini untuk menjejaki kumpulan gajah itu,” katanya.

Kejadian pertama 

Seorang warga emas, Siti Aminah Abdul Rahman, 63, berkata, kejadian serangan gajah itu pertama kali berlaku sepanjang dia tinggal di kampung itu.

“Selama 63 tahun saya tinggal di sini, tidak pernah kampung ini diserang atau dimasuki gajah. Kejadian pada hari ini (semalam) amat menakutkan dan kami sebagai penduduk gusar untuk pergi ke mana-mana kerana takut diserang gajah.

“Haiwan itu sukakan abu dari dapur kayu dan dipercayai menyerang kawasan masjid kerana terdapat abu di bangsal,” katanya.

Cuba buat pemantauan 

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd Shariff ketika dihubungi Sinar Harian berkata, setelah menerima laporan daripada penduduk, pegawainya pergi ke kawasan itu malam kelmarin untuk membuat pantauan.

“Tindakan susulan turut dilakukan pagi semalam dan pegawai Perhilitan melakukan tembakan untuk menghalau gajah dari kawasan kampung itu.

“Kami percaya gajah itu bergerak dalam satu kumpulan dan sebahagian daripadanya sudah menyeberangi sungai untuk pulang ke habitat asal mereka.

“Namun, terdapat seekor lagi gajah yang masih ada di sekitar kampung itu kerana dipercayai berpecah daripada kumpulan asal,” katanya.

Khairiah berkata, Perhilitan akan memantau dari semasa ke semasa keadaan kampung itu dan penduduk diminta supaya tidak menoreh getah buat sementara waktu.

“Buat sementara waktu, unit gajah dari Jabatan Perhilitan sedang melakukan operasi di daerah Bera. Setelah selesai, mereka akan bergerak ke kampung itu untuk membuat tindakan susulan,” katanya



Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story9005730.asp

No comments:

Post a Comment